Saturday, October 17, 2015

Hijau Kekal Kejuaraan dalam Suasana Kemeriahan

       Kejohanan  Olahraga dan Sukaneka SK Jelapang 2015 yang telah diadakan pada 12 dan 13 Oktober 2014 adalah kesinambungan pada kejohanan tahun lalu dengan suasana kemeriahan telah dipertingkatkan . Seperti tahun 2014, kejohanan kali ini turut dikelolakan secara bersama dengan PIBG SK Jelapang sebagai tunjang utama dan di samping penglibatan JKKK Kg. Jelapang, KRT Kg. Jelapang, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah, JKKK Kg. Bukit Layat serta kehadiran pasukan Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) telah menghangatkan suasana kemeriahan pada tahun ini di suatu tahap yang amat memberangsangkan. Kehadiran YB Mohd Iskandar b. Jaafar , Timbalan EXCO Kesihatan Kerajaan Negeri Terengganu yang merupakan ADUN Kawasan Jabi bagi merasmikan program ini telah menimbulkan suasana muhibbah di kalangan warga SK Jelapang dengan komuniti setempat. 
         Sementara itu, Kontijen rumah Hijau yang digelar pasukan Hulubalang mempertahankan kejuaraan pada tahun lalu dengan mendominasi 7 daripada 12 acara sukaneka. Walaupun bermula agak perlahan dalam acara padang dengan hanya memenangi 1 pingat Emas, Rumah Hijau berjaya meningkatkan momentum kejuaraan apabila bangkit secara mendadak pada hari kedua dengan memenangi 8 daripada 13 Emas yang dipertandingkan. Kontijen Rumah Kuning atau Pendekar meraih tempat kedua dengan mata dalam pertandingan Merentas Desa banyak membantu rumah Kuning mencapai kedudukan selaku Naib Johan pada tahun ini. Kontijen Rumah kuning turut mempertahankan Johan Pertandingan Rumah Sukan Tercantik manakala Rumah Biru (Pahlawan) muncul juara Perbarisan dengan kostum pakaian Diraja dengan diiringi oleh bala tentera biru. 
             Dalam kejohanan ini, saudari Siti Nor Aina Sofea bt. Marzuki dinobatkan selaku Olahragawati dengan meraih 5 emas dan 3 perak. Pencapaian beliau dianggap sesuatu luar biasa berdasarkan umur beliau yang baru berusia 8 tahun. Manakala Ikram Mirza b. Zainal Abidin diangkat selaku Olahragawan dengan meraih 2 emas dan 2 perak.

Aktiviti Senamrobik sebagai aktiviti memanaskan badan

Sukaneka Prasekolah : Berebut Kerusi

Pertandingan Pondok Rumah Sukan Tercantik

Kontijen Rumah Sukan bersiap sedia melakukan lintas hormat

YB Mohd Iskandar b. Jaafar berbesar hati merasmikan kejohanan ini

Olahragawan dan Olahragawati Kejohanan 2015




Thursday, July 23, 2015

Khidmat Bantu Matematik UPSR daripada SIC+

Kehadiran Pegawai SIC+ Matematik,Encik Arif Rakiman b. Che Puteh ke sekolah ini telah banyak membantu mempersiapkan kemahiran Matematik khususnya Murid Tahun 6 yang bakal mengambil UPSR pada bulan September nanti. Program yang berlangsung selama 3 jam telah diadakan pada 23 Julai 2015 di kala cuti Hari Raya masih berlangsung. Kehadiran 100% murid dalam program begitu bermakna dan membukti mereka cukup komited mencapai yang terbaik dalam subjek Matematik khususnya. Pada sesi kali ini , Encik Arif memfokus teknik menjawab soalan Kertas 2 serta beberapa kaedah yang bersesuaian untuk menjawab soalan - soalan lain.




Monday, July 20, 2015

Majlis Khatam Al-Quran dan Ambang Syawal

27 Ramadhan 1436H atau bersamaan 14 Julai 2015 pastinya tarikh yang begitu bermakna buat warga SK Jelapang , apabila Panatia Pendidikan Islam dengan kerjasama barisan guru dan kakitangan telah mengadakan suatu majlis yang begitu dekat di hati dan menjadi satu acara kemuncak kepada program Tadarus Al-Quran yang telah berlangsung sepanjang bulan Ramadhan. Acara yang dimulaikan dengan bacaan Al-Quran oleh 40 murid SK Jelapang yang telah khatam Al-Quran dengan dibimbing oleh 3 orang ustaz iaitu Ustaz Rizalman Harun, Ustaz Mohd Juaser b Mat Amin dan Ustaz Tn. Mohd Fadhil b. Abu Bakar. Majlis Ambang Syawal menjadi penutup dengan diisikan dengan penyerahan Hamper kepada 3 orang anak Yatim beserta ibu mereka oleh Yang Berusaha Guru Besar SK Jelapang, Ustaz Abdul Ghani b. Mohd Ali, 20 orang murid miskin dan anak yatim turut menerima sumbangan duit raya berjumlah RM50 seorang. Manakala murid lain turut menerima duit raya daripada para guru dan kakitangan sekolah ini. 

Majlis Khatam Al-Quran


Penyampaian Kuih Raya kepada murid prasekolah

Pemberian cenderahati kepada murid yang Khatam Al-Quran


Penyampaian Hamper kepada anak Yatim melalui ibu murid


Sesi bersalaman dan pemberian duit raya

Majlis Berbuka Puasa

Bertempat di Agro Resort, Setiu, satu Majlis Berbuka Puasa telah diadakan dengan jayanya oleh Kelab Guru dan Staf SK Jelapang.Majlis yang diadakan pada 8 Julai 2015 telah dihadiri oleh hampir semua kakitangan sekolah ini bersama-sama ahli keluarga masing-masing.



Tuesday, June 30, 2015

Temu Murni Perdana 2015

SK Jelapang di bawah kelolaan Unit Peperiksaan dan Jawantankuasa UPSR berjaya mengadakan program Temu Murni Perdana. Kehadiran lebih 80% ibu bapa telah menggambarkan perkembangan positif akan kesedaran pendidikan di kalangan penduduk setempat. Program yang bertujuan untuk memberitahu perkembangan akademik para murid berdasarkan keputusan Peperiksaan Pertengahan Tahun. Buat julung kalinya, Guru Besar baharu sekolah ini, Ustaz Abdul Ghani b. Mohd Ali menyampaikan ucapan di hadapan para ibu bapa dan turut mengumumkan intensif khas RM1000 kepada Murid Tahun 6 yang berjaya mencapai 5A dalam UPSR. Di samping itu, kehadiran Pegawai Perhubungan sekolah ini dari PPD Setiu, Encik Kamaruzaman b. Kadir telah sedikit sebanyak memeriahkan program Temu Murni pada kali ini, Program Temu Murni yang diadakan pada 30 Jun 2015 turut menyelitkan penyampaian slip keputusan peperiksaan kepada para ibu bapa serta penyampaian bantuan KWAPM kepada murid tahun 1.






Ustaz Abdul Ghani , GB Baharu SK Jelapang

Ustaz Abdul Ghani b. Mohd Ali telah dilantik secara rasmi selaku Guru Besar Baharu SK Jelapang mulai 1 Jun 2015 menggantikan Encik Lingah b. Derahman . Cikgu Lingah akan berkhidmat selaku Guru Besar di SK Kampung Bukit. Ustaz Abdul Ghani telah bertukar dari SK Kampung Gemuruh, pernah menjawat jawatan selaku Penyelaras ICT di PPD Setiu dan PPD Kuala Terengganu. Kehadiran beliau bakal merancakkan lagi perkembangan ICT di sekolah ini.

Temu Murni Program LINUS

Ahli Jawatankuasa LINUS yang diketuai oleh Penyelarasnya, Encik Zulkarnain b. Salleh telah mengelolakan program Temu Murni bersama Ibu bapa Murid yang disaringkan sebagai kategori Linus. Majlis ini telah diadakan pada 3 Jun 2015 dengan menyaksikan pasukan Fasilinus PPD Setiu telah turun ke SK Jelapang untuk menyampaikan taklimat kepada para ibu bapa dan penjaga. Kehadiran pasukan ini diketuai Encik Ramlee b. Awang Kechik, selaku Ketua Fasilinus.



Friday, May 8, 2015

Bola Tampar MSSD Setiu : SK Jelapang Ketiga Terbaik

Pasukan Perempuan B12 Tahun sekolah ini berjaya mencatat keputusan luar dugaan apabila berjaya meraih pingat gangsa dalam Kejohanan Bola Tampar MSSD Setiu pada 21 April 2015 yang diadakan di SMK Bukit Nenas. Pasukan sekolah ini telah diwakili Siti Nor Sahida, Tuan Nor Syasya, Nor Sahirah, Ilya Shahirah, Siti Suhaida, Nor Asma Azlinda, Nurul Ilyanie, Nurul Nabilah Anati, Nor Syafika Najwa dan Siti Norshuhana. Pasukan ini turut mengejutkan SK Banggol dalam laluan ke separuh akhir apabila menang dengan keputusan 30-22. Hasrat untuk mara ke peringkat akhir tersekat apabila tunduk kepada Juara Bertahan 2 tahun berturut-turut iaitu SK Fikri Sg Tong dengan keputusan 2-0. Sementera itu, pasukan lelaki gagal mara ke separuh akhir apabila hanya memenangi satu perlawanan dengan menumpaskan SK Kg Fikri Pantai dengan 30-16.




Thursday, April 16, 2015

SK Jelapang Juara Pesta Pantun Setiu

SK Jelapang berjaya muncul Juara Pesta Pantun walaupun ianya merupakan penyertaan pertama dalam pertandingan tersebut.Kejayaan yang sedemikian merupakan pencapaian cukup membanggakan apabila dinobatkan Johan Pesta Pantun Daerah Setiu.Pertandingan yang di adakan pada 9 April 2015 telah di SK Saujana, Setiu. Kejayaan yang dicapai amat memberangsangkan apabila menumbangkan dua finalis 2014, SK Saujana dan SK Chalok yang seterusnya mengejutkan ramai pihak dan sekolah lain akan kehebatan para pemantun sekolah yang mendapat bimbingan daripada Cikgu Azli Azri . Sementara itu, adik Nor Azifatul dijulang selaku Pemantun Terbaik. Kejayaan ini membolehkan SK Jelapang mewakili daerah Setiu dalam Pertandingan Pantun Negeri Terengganu pada 12 hingga 14 April 2015 di SK Padang Setengge, Kuala Berang.






MTQ : Nasyid Ketiga, Fatin Raih Naib Johan

Hasrat Fatin Nur Suhaila bt. Mat Rawi untuk meraih kedudukan Pertama dalam Pertandingan Bercerita Sempena Majlis Tilawah Al-Quran Zon Setiu Barat terkubur apabila sekadar meraih kedudukan kedua dengan perbezaan 5 mata dengan Juara pertandingan tersebut dari SK Sungai Lerek. Sementara itu, Pasukan Nasyid berjaya meraih kedudukan ketiga walaupun mendapat perhatian dan tepukan lebih gemuruh daripada hadirin di atas kelunakan suara penyanyi utamanya,Tuan Siti Nor Syasya bt. Tuan Mat. Buat julung kalinya pasukan nasyid sekolah ini tampil dengan peralatan muzik. 

Friday, February 27, 2015

Temu Murni 2015 : Kehadiran Ibu Bapa Membanggakan

Kehadiran ibu bapa yang amat mengalakkan pada sesi Temu Murni UPSR Bil 1/2015 menunjukkan satu permulaan membanggakan. Program yang dianjurkan pada 16 Februari 2015, telah menyaksikan kehadiran 17 daripada 18 orang ibu atau bapa pada hari tersebut. Pengisian program pertama ini lebih menjuruskan kepada maklum perancangan sekolah di dalam Program Cakna UPSR dan sasaran pihak sekolah dalam mencapai kelulusan 100% dalam semua mata pelajaran. Program ini turut diisikan dengan sesi dialog dan memupuk satu sifat prihatin di kalangan ibu bapa ke atas mereka yang bakal menduduki UPSR.








Friday, February 13, 2015

Majlis Penyerahan Watikah Pemimpin Kecil

Kehadiran Pegawai Inspektor Zaitul Kazrine bt Hamidi dari Unit Siasatan Jenayah IPD Setiu telah memeriahkan Majlis Penyerahan Watikah kepada barisan Pengawas, Pustakawan, Ketua Kelas dan Penolong Ketua Kelas. Seramai 75 orang murid telah menerima watikah perlantikan sekaligus melafazkan Ikrar untuk melaksanakan amanah yang diberikan dengan cemerlang dan bertanggungjawab. Majlis yang dianjurkan pada 10 Februari 2015 turut menyaksikan kehadiran Pegawai Perhubungan Sekolah dari PPD Setiu, En. Kamaruzaman yang mewakili pihak PPD Setiu.







Friday, February 6, 2015

Rumah Kuning Ungguli Merentas Desa 2015

Rumah Kuning memulakan langkah kanan dalam Kejohanan Merentas Desa 2015 apabila muncul Juara Keseluruhan dengan pungut mata sebanyak 103 mata dengan kelebihan 14 mata dengan penyandang Juara Sukan Sekolah 2014 , Rumah Hijau dengan 89 mata. Manakala Rumah Merah dan Biru bersaing di tempat ketiga dan keempat dengan masing-masing dengan 70 dan 68 mata. Rumah Kuning jelas mendominasi kategori Tahun 5,6 & PKIBP Lelaki apabila merekod Khairul Ikhwan b. Rani muncul juara dalam kategori berkenaan manakala adik Nurul Nabilah Anati muncul juara Kategori Perempuan pada tahap umur yang sama. Kejohanan yang diadakan pada 5 Februari 2015 telah memulakan acara pada jam 9:30 pagi dan berakhir dengan majlis penutupan yang turut dihadiri Pegawai Perhubungan PPD Setiu bagi SK Jelapang,En Kamaruzaman yang sekaligus mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Setiu untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang.