Kejayaan murid bernama Nor Izzati
Maria Shahira Bt. Mazuki di dalam lapangan sukan olahraga telah berjaya nama sekolah ini di peringkat negeri Terengganu apabila beliau berjaya meraih pingat emas dalam acara Lontar Peluru. Nor Izzati meraih emas dalam Kategori Bermasalah Pembelajaran. Pencapaian beliau dalam Kejohanan Trek dan Padang Pendidikan Khas Negeri Terengganu dilihat memberi pengiktirafan kepada sekolah ini dalam bidang sukan. Sebelum ini , atlit normal Salmi Najwa bin Mat Rafi turut mewakili Negeri Terengganu dalam acara Lontar Peluru dan Bola Baling di peringkat Kebangsaan.
Sunday, October 26, 2014
Peperiksaan Akhir Tahun (27 - 30 Oktober 2014)
Unit Akademik telah memutuskan mengadakan Peperiksaan Akhir Tahun 2014 secara selaras pada 27 hingga 30 Oktober 2014 dan memilih tarikh 17 November 2014 untuk Majlis Penyampaian Hadiah dan Anugerah Pelajar Cemerlang . Berikut adalah Jadual Peperiksaan tersebut :
Rumah Hijau Muncul Juara
Pasukan Rumah Sukan Hijau berjaya mengungguli Johan Keseluruhan Kejohanan Sukan Padang dan Balapan SK Jelapang 2014 dengan menewaskan pesaing terdekat iaitu Rumah Merah. Rumah Hijau yang diketuai oleh Cikgu Mohd Rashdan sambil dibantu oleh Cikgu Mohd Rashidi, Cikgu Mohd Zulkarnain, Cikgu Nor Hasimah, Cikgu Rasidah Sulaiman, Ustazah Rahayu serta Pn. Nor Yusmaliza telah berjaya meraih 15 pingat emas termasuk 9 dalam acara olahraga dan 6 acara sukaneka. Sementera itu, atlit rumah Hijau ,Farah Farhana bt. Mohd Rafie dinobatkan selaku olahragawati kejohanan ini atas pencapaian 2 Emas dan 1 Perak manakala olahragawan disandang oleh Muhamad Zulhelmi b. Mohamad Zaini dari rumah Kuning , hasil pencapaian 3 Emas, 1 Perak dan 1 Gangsa. Rumah Kuning turut mengungguli acara perbarisan dan Hiasan Khemah Tercantik . Kejohanan yang dirasmikan oleh Penyelaras DUN Langkap, En. Zulkarnain b. Ariffin yang mewakili ADUN Langkap. Di dalam kejohanan ini juga diselitkan 10 acara sukaneka yang dibuka untuk penduduk dari Kg. Jelapang, Kg. Bukit Layat dan Kg. Mak Jintan bagi mewujudkan semangat muhibbah dan silaturahim di kalangan masyarakat setempat dengan warga SK Jelapang.
Saturday, September 27, 2014
Penyebaran DSKP Tahun 5 dalam LADAP
Urusetia Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) SK Jelapang telah berjaya mengadakan satu aktiviti penyebaran maklumat melibatkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran meliputi 4 subjek Tahun 5 yang bakal dilaksanakan pada tahun 2015. 4 subjek tersebut ialah Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK), Sejarah, Rekabentuk dan Teknologi (RBT) dan Pendidikan Seni Visual (PSV). Program ini telah mendapat perhatian serius dari Yang Berusaha Guru Besar, Encik Lingah Derahman turut berbesar hati hadir dan mengikuti kursus sepanjang tempoh ianya berlangsung. Program ini telah berlangsung pada hari Sabtu, 27 September 2014 dan telah mendapatkan sambutan yang amat menggalakkan termasuk kehadiran Guru - Guru Opsyen Pendidikan Khas dan Prasekolah. Seramai 4 orang fasilitator telah diberi peluang untuk membantu para guru lain iaitu Encik Abd Hafiz (TMK), Puan Suzita Ghani (Sejarah), En. Mohd Rashdan Hafiz (RBT) dan Cik Nor Hasimah Ismail (PSV).
Ucapan alu-aluan Tuan Guru Besar, En. Lingah Derahman
Bergambar Kenangan
Sambutan Hari Susu Sedunia 2014
Tarikh 24 September 2014 merupakan Hari Susu Sedunia dan ianya turut disambut di sekolah ini dengan penuh kemeriahan bagi melahirkan generasi yang sihat dan cerdas. Sambutan ini telah dikendalikan di bawah seliaan Guru Kesihatan dan Guru Program Susu 1Malaysia. Program yang dimulakan pada jam 9:45 pagi dengan Perasmian oleh wakil Guru Besar, Puan Nor Aini bt. Sulong. Majlis diteruskan dengan Pertandingan Kuiz Susu 1 Malaysia. Tepat jam 10:30pagi, acara kemuncak adalah menjayakan misi memecahkan Rekod Malaysia dengan minum susu secara serentak . Acara ini didemostrasikan oleh Ustazah Ruhani bt. Jusoh yang menunjukkan tatacara minum susu dengan betul.
Demostrasi Minum Susu oleh Ustazah Ruhani bt. Jusoh
Murid bersiap sedia untuk Pertandingan Kuiz Susu Sedunia
Monday, September 1, 2014
Solat Hajat II : Kehadiran SIP Tingkatkan Motivasi
Pada 28 Ogos 2014, sekolah ini telah mengadakan program Solat Hajat sempena menghadapi peperiksaan UPSR 2014 . Program ini merupakan sebahagian daripada usaha pihak sekolah di dalam memohon pertolongan Yang Maha Berkuasa agar diberikan ketenangan dan petunjuk di dalam menghadapi peperiksaan tersebut. Di bawah program Cakna UPSR, pelbagai program telah dirangka oleh sekolah bagi membantu 19 orang calon sekolah ini mencapai keputusan yang cemerlang. Pihak sekolah telah mengadakan Kelas Tambahan selama 2 sesi pada setiap hari iaitu kelas petang yang bermula jam 2-4 petang dan kelas malam yang bermula pada jam 8-10 malam. Pada hujung minggu diadakan pula Kem UPSR pada tiga minggu terakhir. Di dalam majlis Solat Hajat ini, hampir seluruh ibu bapa berjaya hadir ke program ini dan ditambah kehadiran SIP Akademik PPD Setiu , Encik Wan Yaacob dan Wan Ibrahim yang turut menyampaikan rangsangan dan motivasi kepada para ibu bapa dan calon-calon UPSR.
Lahirnya Semangat Kemerdekaan Di Jelapang
SK Jelapang di bawah kelolaan Kelab Rukun Negara dan Cegah Jenayah telah mengambil inisiatif untuk mengadakan program Sambutan Kemerdekaan Yang Ke 57 peringkat sekolah ini sehari selepas negara menyambutnya pada tanggal 31 Ogos 2014. Sebagai menyemarakkan program sambutan ini, beberapa aktiviti telah diadakan antaranya Mengibar Jalur Gemilang Di Setiap Kelas, Pertandingan Kuiz Kemerdekaan, Pertandingan Mewarna, Pertandingan Melukis Poster dan Pertandingan Mendeklamasi Sajak. Di majlis, Yang Berusaha Guru Besar SK Jelapang , Encik Lingah bin Derahman telah berbesar hati merasmikan program sambutan pada kali ini.
Fatin Nur Suhaila muncul pemenang Pertandingan Mendeklamasi Sajak
Friday, July 11, 2014
Majlis Temu Murni
Pada 10 Julai 2014 bersamaan 12 Ramadhan 1435 telah berlangsungnya satu majlis perjumpaan Ibu bapa dan Penjaga kepada murid-murid Tahun 6. Program ini yang dinamakan Majlis Temu Murni adalah satu pelan tindakan yang diambil oleh En.Ramli b. Abd Hamid selaku Penyelaras UPSR SK Jelapang sebagai salah satu langkah untuk memperkasakan keputusan UPSR 2014 ke satu tahap yang lebih baik. Program ini telah menyaksikan kehadiran 73.68% ibu bapa dan juga penjaga. Program ini juga bertujuan memaklumkan prestasi semasa murid-murid dan sasaran pihak sekolah pada tahun ini. Peranan Ibu bapa dilihat sebagai salah satu tunjang untuk memastikan para murid dapat hadir secara berterusan di dalam program Cakna UPSR telah berlangsung sejak dari bulan Februari lagi.Di dalam majlis ini, Yang Berusaha Guru Besar, En. Lingah bin Derahman berharap ibu bapa dapat bekerjasama dengan pihak sekolah di dalam memberi rangsangan dan sering peka dengan aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah yang sentiasa bertungkus lumus memperbaiki pencapaian UPSR sekolah ini. Majlis yang bermula jam 11:00 pagi ini turut diisikan dengan taklimat prestasi oleh guru-guru Mata Pelajaran.
Sunday, June 22, 2014
Perkhemahan Unit Beruniform 2014
Seramai 53 orang peserta dari tiga unit beruniform telah berjaya menghadirkan diri ke Perkhemahan Unit Beruniform SK Jelapang 2014. Perkhemahan ini telah diadakan pada 19-21 Jun 2014 dengan memperlihatkan satu perkembangan yang positif dengan kerjasama yang baik di kalangan guru dan murid-murid. Pada hari pertama, para peserta telah diuji dalam pertandingan kawad kaki secara individu mahupun berpasukan bagi memastikan tahap displin dan jati diri murid dapat diperkemaskan. Sebanyak 7 kumpulan peserta telah dibahagikan mengikut jantina dan unit beruniform untuk mewujudkan suasana persaingan di kalangan para peserta. Pada hari kedua, para peserta telah diuji dalam kemahiran ikatan dan simpulan, Pertolongan Cemas dan Masakan Rimba. Pada malam tersebut, para peserta sekali lagi berganding bahu untuk menonjolkan bakat dalam aktiviti kesenian melibatkan persembahan berunsur nyanyian, lakonan dan tarian. Rata-rata para peserta memberi maklumbalas positif tentang perkhemahan yang diadakan pada tahun ini.
Thursday, June 5, 2014
Grooming dan Kelas Tambahan Semasa Cuti
SK Jelapang meneruskan program Lonjakan Akademik melalui perlaksanaan Program Grooming melibatkan murid tahun 5 selama 5 hari mulai 1-5 Jun 2014 manakala murid tahun enam terlibat secara langsung sepanjang cuti persekolahan di dalam aktiviti kelas tambahan. Di samping itu, murid-murid tahun 5 turut didedahkan dengan dunia ICT oleh Pegawai Teknologi Maklumat (EIO) sekolah , Puan Yusma Liza bagi memberi ilmu pengetahuan dalam bidang asas komputer.
Sunday, June 1, 2014
Selamat Bersara Cikgu Mad !
Tarikh 25 Mei 2014 adalah tarikh yang wajar diingati oleh seluruh warga SK Jelapang kerana pada tarikh berkenaan telah menyaksikan kehadiran pemimpin tertinggi negeri ini iaitu YAB Menteri Besar Negeri Terengganu, Datuk Ahmad Razif bin Abd Rahman bagi meraikan persaraan bekas gurunya iaitu En. Mohamed bin Nawi yang juga merupakan Guru Penolong Kanan HEM sekolah ini. En. Mohamed atau lebih dikenali sebagai Cikgu Mad di kalangan warga SK Jelapang telah diraikan dalam satu majlis ringkas tetapi penuh bermakna. Cikgu Mad telah berkhidmat selama 34 tahun di dalam bidang pendidikan termasuk 11 tahun di sekolah ini mulai tahun 2003. Seluruh warga SK Jelapang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Cikgu Mad di atas sumbangan beliau kepada sekolah dan berharap beliau terus maju dalam apa jua bidang yang diceburi selepas ini.
Saturday, May 31, 2014
Kem Motivasi UPSR 2014
Bagi mencapai prestasi cemerlang dalam UPSR 2014, SK Jelapang Setiu telah mengadakan Kem Motivasi UPSR yang diadakan di sekolah ini pada 22-24 Mei 2014. Program ini merupakan sebahagian langkah pihak sekolah bagi melonjakkan prestasi UPSR ke satu tahap yang lebih positif sekaligus meletakkan sekolah ini berada dalam satu landasan yang tepat untuk mencapai kejayaan lebih baik dari tahun sebelumnya. 3 orang tenaga pengajar luar telah dijemput untuk menjayakan program ini melibatkan slot Bengkel Kecemerlangan Bahasa Inggeris, Ceramah Keibubapaan dan Slot Muhasabah Diri. Melalui tinjauan pendapat, rata-rata ibu bapa yang hadir telah memuji langkah yang diambil pihak sekolah bagi meningkatkan kesedaran diri kepada para murid dan memberi rangsangan baru kepada ibu bapa untuk sama-sama mengembeleng tenaga dengan pihak sekolah dalam menjayakan hasrat dan cita-cita murni semua pihak untuk melihatkan prestasi sekolah ini kembali meningkat.
Ceramah yang disampaikan oleh Kaunselor PPD Kuala Terengganu
Kehadiran ibu bapa bersama murid dalam slot Ceramah Keibubapaan
Slot Muhasabah diri disampaikan oleh En. Hamidi dari IPG Kampus Dato' Razali
Subscribe to:
Posts (Atom)