Friday, January 22, 2016

Penutupan Program Transisi Murid Tahun 1

Program Transisi melibatkan murid tahun 1 dan prasekolah ditutup dengan jayanya. Bahkan tarikh penutupan yang bersamaan dengan Hari Lahir Tuan Guru Besar, Ustaz Abdul Ghani b. Mohd Ali telah menambahkan lagi keterujaan dan kemeriahan program ini.Program transisi yang telah berlangsung 2 minggu yang dikendalikan oleh semua guru tahun 1 yang diketuai oleh Penyelaras Transisi , Puan Norhayati bt. Abu Bakar telah memberi impak positif kepada 21 orang murid tahun 1 dan 25 orang murid prasekolah. Kerjasama yang diberikan oleh para guru dan kakitangan telah membantu program ini berlangsung dengan jayanya. Majlis penutupan telah dilaksanakan oleh GB SK Jelapang pada 14 Januari 2016 menandakan berakhirnya program transisi pada tahun ini selama melalui fasa tersebut selama 2 minggu.



Sambutan Maulidur Rasul 1437H

Di dalam kesuntukkan waktu, Majlis Dakwah Agama Islam (MAKDIS) SK Jelapang masih berkesempatan mengadakan program sambutan Maulidur Rasul pada 7 Januari 2016 bersamaan 26 Rabiulawal 1437H. Program dimulakan bacaan Yassin di Surau SK Jelapang, diikuti berselawat . Kemudian para murid dan guru serta kakitangan berarak mengelilingi Kampung Jelapang dengan membawa sepanduk dengan alunan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Majlis diakhiri dengan ceramah khas Maulidur Rasul dari Imam Muda Masjid Putera Jaya ,Setiu yang begitu para murid dengan kandungan ceramah yang menepati jiwa sebagai seorang Insan bernama Murid.




Selamat Kembali Ke Sekolah 2016


Saturday, October 17, 2015

Hijau Kekal Kejuaraan dalam Suasana Kemeriahan

       Kejohanan  Olahraga dan Sukaneka SK Jelapang 2015 yang telah diadakan pada 12 dan 13 Oktober 2014 adalah kesinambungan pada kejohanan tahun lalu dengan suasana kemeriahan telah dipertingkatkan . Seperti tahun 2014, kejohanan kali ini turut dikelolakan secara bersama dengan PIBG SK Jelapang sebagai tunjang utama dan di samping penglibatan JKKK Kg. Jelapang, KRT Kg. Jelapang, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah, JKKK Kg. Bukit Layat serta kehadiran pasukan Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN) telah menghangatkan suasana kemeriahan pada tahun ini di suatu tahap yang amat memberangsangkan. Kehadiran YB Mohd Iskandar b. Jaafar , Timbalan EXCO Kesihatan Kerajaan Negeri Terengganu yang merupakan ADUN Kawasan Jabi bagi merasmikan program ini telah menimbulkan suasana muhibbah di kalangan warga SK Jelapang dengan komuniti setempat. 
         Sementara itu, Kontijen rumah Hijau yang digelar pasukan Hulubalang mempertahankan kejuaraan pada tahun lalu dengan mendominasi 7 daripada 12 acara sukaneka. Walaupun bermula agak perlahan dalam acara padang dengan hanya memenangi 1 pingat Emas, Rumah Hijau berjaya meningkatkan momentum kejuaraan apabila bangkit secara mendadak pada hari kedua dengan memenangi 8 daripada 13 Emas yang dipertandingkan. Kontijen Rumah Kuning atau Pendekar meraih tempat kedua dengan mata dalam pertandingan Merentas Desa banyak membantu rumah Kuning mencapai kedudukan selaku Naib Johan pada tahun ini. Kontijen Rumah kuning turut mempertahankan Johan Pertandingan Rumah Sukan Tercantik manakala Rumah Biru (Pahlawan) muncul juara Perbarisan dengan kostum pakaian Diraja dengan diiringi oleh bala tentera biru. 
             Dalam kejohanan ini, saudari Siti Nor Aina Sofea bt. Marzuki dinobatkan selaku Olahragawati dengan meraih 5 emas dan 3 perak. Pencapaian beliau dianggap sesuatu luar biasa berdasarkan umur beliau yang baru berusia 8 tahun. Manakala Ikram Mirza b. Zainal Abidin diangkat selaku Olahragawan dengan meraih 2 emas dan 2 perak.

Aktiviti Senamrobik sebagai aktiviti memanaskan badan

Sukaneka Prasekolah : Berebut Kerusi

Pertandingan Pondok Rumah Sukan Tercantik

Kontijen Rumah Sukan bersiap sedia melakukan lintas hormat

YB Mohd Iskandar b. Jaafar berbesar hati merasmikan kejohanan ini

Olahragawan dan Olahragawati Kejohanan 2015




Thursday, July 23, 2015

Khidmat Bantu Matematik UPSR daripada SIC+

Kehadiran Pegawai SIC+ Matematik,Encik Arif Rakiman b. Che Puteh ke sekolah ini telah banyak membantu mempersiapkan kemahiran Matematik khususnya Murid Tahun 6 yang bakal mengambil UPSR pada bulan September nanti. Program yang berlangsung selama 3 jam telah diadakan pada 23 Julai 2015 di kala cuti Hari Raya masih berlangsung. Kehadiran 100% murid dalam program begitu bermakna dan membukti mereka cukup komited mencapai yang terbaik dalam subjek Matematik khususnya. Pada sesi kali ini , Encik Arif memfokus teknik menjawab soalan Kertas 2 serta beberapa kaedah yang bersesuaian untuk menjawab soalan - soalan lain.




Monday, July 20, 2015

Majlis Khatam Al-Quran dan Ambang Syawal

27 Ramadhan 1436H atau bersamaan 14 Julai 2015 pastinya tarikh yang begitu bermakna buat warga SK Jelapang , apabila Panatia Pendidikan Islam dengan kerjasama barisan guru dan kakitangan telah mengadakan suatu majlis yang begitu dekat di hati dan menjadi satu acara kemuncak kepada program Tadarus Al-Quran yang telah berlangsung sepanjang bulan Ramadhan. Acara yang dimulaikan dengan bacaan Al-Quran oleh 40 murid SK Jelapang yang telah khatam Al-Quran dengan dibimbing oleh 3 orang ustaz iaitu Ustaz Rizalman Harun, Ustaz Mohd Juaser b Mat Amin dan Ustaz Tn. Mohd Fadhil b. Abu Bakar. Majlis Ambang Syawal menjadi penutup dengan diisikan dengan penyerahan Hamper kepada 3 orang anak Yatim beserta ibu mereka oleh Yang Berusaha Guru Besar SK Jelapang, Ustaz Abdul Ghani b. Mohd Ali, 20 orang murid miskin dan anak yatim turut menerima sumbangan duit raya berjumlah RM50 seorang. Manakala murid lain turut menerima duit raya daripada para guru dan kakitangan sekolah ini. 

Majlis Khatam Al-Quran


Penyampaian Kuih Raya kepada murid prasekolah

Pemberian cenderahati kepada murid yang Khatam Al-Quran


Penyampaian Hamper kepada anak Yatim melalui ibu murid


Sesi bersalaman dan pemberian duit raya

Majlis Berbuka Puasa

Bertempat di Agro Resort, Setiu, satu Majlis Berbuka Puasa telah diadakan dengan jayanya oleh Kelab Guru dan Staf SK Jelapang.Majlis yang diadakan pada 8 Julai 2015 telah dihadiri oleh hampir semua kakitangan sekolah ini bersama-sama ahli keluarga masing-masing.