Friday, July 11, 2014

Majlis Temu Murni

Pada 10 Julai 2014 bersamaan 12 Ramadhan 1435 telah berlangsungnya satu majlis perjumpaan Ibu bapa dan Penjaga kepada murid-murid Tahun 6. Program ini yang dinamakan Majlis Temu Murni adalah satu pelan tindakan yang diambil oleh En.Ramli b. Abd Hamid selaku Penyelaras UPSR SK Jelapang sebagai salah satu langkah untuk memperkasakan keputusan UPSR 2014 ke satu tahap yang lebih baik. Program ini telah menyaksikan kehadiran 73.68% ibu bapa dan juga penjaga. Program ini juga bertujuan memaklumkan prestasi semasa murid-murid dan sasaran pihak sekolah pada tahun ini. Peranan Ibu bapa dilihat sebagai salah satu tunjang untuk memastikan para murid dapat hadir secara berterusan di dalam program Cakna UPSR telah berlangsung sejak dari bulan Februari lagi.Di dalam majlis ini, Yang Berusaha Guru Besar, En. Lingah bin Derahman berharap ibu bapa dapat bekerjasama dengan pihak sekolah di dalam memberi rangsangan dan sering peka dengan aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah yang sentiasa bertungkus lumus memperbaiki pencapaian UPSR sekolah ini. Majlis yang bermula jam 11:00 pagi ini turut diisikan dengan taklimat prestasi oleh guru-guru Mata Pelajaran.






Sunday, June 22, 2014

Perkhemahan Unit Beruniform 2014

Seramai 53 orang peserta dari tiga unit beruniform telah berjaya menghadirkan diri ke Perkhemahan Unit Beruniform SK Jelapang 2014. Perkhemahan ini telah diadakan pada 19-21 Jun 2014 dengan memperlihatkan satu perkembangan yang positif dengan kerjasama yang baik di kalangan guru dan murid-murid. Pada hari pertama, para peserta telah diuji dalam pertandingan kawad kaki secara individu mahupun berpasukan bagi memastikan tahap displin dan jati diri murid dapat diperkemaskan. Sebanyak 7 kumpulan peserta telah dibahagikan mengikut jantina dan unit beruniform untuk mewujudkan suasana persaingan di kalangan para peserta. Pada hari kedua, para peserta telah diuji dalam kemahiran ikatan  dan simpulan, Pertolongan Cemas dan Masakan Rimba. Pada malam tersebut, para peserta sekali lagi berganding bahu untuk menonjolkan bakat dalam aktiviti kesenian melibatkan persembahan berunsur nyanyian, lakonan dan tarian. Rata-rata para peserta memberi maklumbalas positif tentang perkhemahan yang diadakan pada tahun ini.












Thursday, June 5, 2014

Grooming dan Kelas Tambahan Semasa Cuti

SK Jelapang meneruskan program Lonjakan Akademik melalui perlaksanaan Program Grooming melibatkan murid tahun 5 selama 5 hari mulai 1-5 Jun 2014 manakala murid tahun  enam terlibat secara langsung sepanjang cuti persekolahan di dalam aktiviti kelas tambahan. Di samping itu, murid-murid tahun 5 turut didedahkan dengan dunia ICT oleh Pegawai Teknologi Maklumat (EIO) sekolah , Puan Yusma Liza bagi memberi ilmu pengetahuan dalam bidang asas komputer.









Sunday, June 1, 2014

Selamat Bersara Cikgu Mad !

Tarikh 25 Mei 2014 adalah tarikh yang wajar diingati oleh seluruh warga SK Jelapang kerana pada tarikh berkenaan telah menyaksikan kehadiran pemimpin tertinggi negeri ini iaitu YAB Menteri Besar Negeri Terengganu, Datuk Ahmad Razif bin Abd Rahman bagi meraikan persaraan bekas gurunya iaitu En. Mohamed bin Nawi yang juga merupakan Guru Penolong Kanan HEM sekolah ini. En. Mohamed atau lebih dikenali sebagai Cikgu Mad di kalangan warga SK Jelapang telah diraikan dalam satu majlis ringkas tetapi penuh bermakna. Cikgu Mad telah berkhidmat selama 34 tahun di dalam bidang pendidikan termasuk 11 tahun di sekolah ini mulai tahun 2003. Seluruh warga SK Jelapang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Cikgu Mad di atas sumbangan beliau kepada sekolah dan berharap beliau terus maju dalam apa jua bidang yang diceburi selepas ini.








Saturday, May 31, 2014

Kem Motivasi UPSR 2014

Bagi mencapai prestasi cemerlang dalam UPSR 2014, SK Jelapang Setiu telah mengadakan Kem Motivasi UPSR yang diadakan di sekolah ini pada 22-24 Mei 2014. Program ini merupakan sebahagian langkah pihak sekolah bagi melonjakkan prestasi UPSR ke satu tahap yang lebih positif sekaligus meletakkan sekolah ini berada dalam satu landasan yang tepat untuk mencapai kejayaan lebih baik dari tahun sebelumnya. 3 orang tenaga pengajar luar telah dijemput untuk menjayakan program ini melibatkan slot Bengkel Kecemerlangan Bahasa Inggeris, Ceramah Keibubapaan dan Slot Muhasabah Diri. Melalui tinjauan pendapat, rata-rata ibu bapa yang hadir telah memuji langkah yang diambil pihak sekolah bagi meningkatkan kesedaran diri kepada para murid dan memberi rangsangan baru kepada ibu bapa untuk sama-sama mengembeleng tenaga  dengan pihak sekolah dalam menjayakan hasrat dan cita-cita murni semua pihak untuk melihatkan prestasi sekolah ini kembali meningkat.


Ceramah yang disampaikan oleh Kaunselor PPD Kuala Terengganu

Kehadiran ibu bapa bersama murid dalam slot Ceramah Keibubapaan


Slot Muhasabah diri disampaikan oleh En. Hamidi dari IPG Kampus Dato' Razali





Sambutan Hari Guru 2014 Tetap Meriah

Walaupun di sebalik kesibukan menghadapi Peperiksaan Pertengahan Tahun dan penglibatan guru dalam kursus, Kelab Guru dan Kakitangan yang dipengerusikan oleh En. Mohd Azli tetap mengadakan sambutan Hari Guru. Sambutan ini telah diadakan pada 18 Mei 2014 dengan dimulakan acara rasmi seperti sesi memperdengarkan perutusan Hari Guru daripada Pengarah JPN Terengganu melalui GPK I, En. Abdullah Ibrahim dan perutusan daripada Ketua Pengarah dibaca oleh Yang Berusaha Guru Besar, En. Lingah Derahman. Majlis diteruskan dengan deklamasi sajak oleh wakil guru, Nyanyian Lagu Kami Guru Malaysia dan Persembahan daripada wakil murid. Aturcara majlis turut diselitkan dengan sesi memotong kek. Pada tahun ini, buat ulung kalinya, para guru dan kakitangan mengenakan baju batik khas. Majlis sambutan ini diteruskan dengan sukaneka yang melibatkan para guru dan kakitangan dalam acara yang diatur oleh AJK Sukaneka, En. Zuraidi.

Guru Besar, En Lingah menyampaikan Perutusan Ketua Pengarah


Deklamasi Sajak oleh Cg. Norhashimah dan Cg. Azli

Sesi Memotong Kek

Penyampaian Hadiah oleh Murid kepada Para Guru

 Pertandingan Ping Pong


Pertandingan Boling Kelapa yang dimenangi oleh Rumah Merah