Sunday, June 22, 2014

Perkhemahan Unit Beruniform 2014

Seramai 53 orang peserta dari tiga unit beruniform telah berjaya menghadirkan diri ke Perkhemahan Unit Beruniform SK Jelapang 2014. Perkhemahan ini telah diadakan pada 19-21 Jun 2014 dengan memperlihatkan satu perkembangan yang positif dengan kerjasama yang baik di kalangan guru dan murid-murid. Pada hari pertama, para peserta telah diuji dalam pertandingan kawad kaki secara individu mahupun berpasukan bagi memastikan tahap displin dan jati diri murid dapat diperkemaskan. Sebanyak 7 kumpulan peserta telah dibahagikan mengikut jantina dan unit beruniform untuk mewujudkan suasana persaingan di kalangan para peserta. Pada hari kedua, para peserta telah diuji dalam kemahiran ikatan  dan simpulan, Pertolongan Cemas dan Masakan Rimba. Pada malam tersebut, para peserta sekali lagi berganding bahu untuk menonjolkan bakat dalam aktiviti kesenian melibatkan persembahan berunsur nyanyian, lakonan dan tarian. Rata-rata para peserta memberi maklumbalas positif tentang perkhemahan yang diadakan pada tahun ini.












Thursday, June 5, 2014

Grooming dan Kelas Tambahan Semasa Cuti

SK Jelapang meneruskan program Lonjakan Akademik melalui perlaksanaan Program Grooming melibatkan murid tahun 5 selama 5 hari mulai 1-5 Jun 2014 manakala murid tahun  enam terlibat secara langsung sepanjang cuti persekolahan di dalam aktiviti kelas tambahan. Di samping itu, murid-murid tahun 5 turut didedahkan dengan dunia ICT oleh Pegawai Teknologi Maklumat (EIO) sekolah , Puan Yusma Liza bagi memberi ilmu pengetahuan dalam bidang asas komputer.









Sunday, June 1, 2014

Selamat Bersara Cikgu Mad !

Tarikh 25 Mei 2014 adalah tarikh yang wajar diingati oleh seluruh warga SK Jelapang kerana pada tarikh berkenaan telah menyaksikan kehadiran pemimpin tertinggi negeri ini iaitu YAB Menteri Besar Negeri Terengganu, Datuk Ahmad Razif bin Abd Rahman bagi meraikan persaraan bekas gurunya iaitu En. Mohamed bin Nawi yang juga merupakan Guru Penolong Kanan HEM sekolah ini. En. Mohamed atau lebih dikenali sebagai Cikgu Mad di kalangan warga SK Jelapang telah diraikan dalam satu majlis ringkas tetapi penuh bermakna. Cikgu Mad telah berkhidmat selama 34 tahun di dalam bidang pendidikan termasuk 11 tahun di sekolah ini mulai tahun 2003. Seluruh warga SK Jelapang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Cikgu Mad di atas sumbangan beliau kepada sekolah dan berharap beliau terus maju dalam apa jua bidang yang diceburi selepas ini.